Tuesday, May 11, 2010

Bahaya Bulimia

Bulimia: Kaedah Kuruskan Badan yang Boleh Bawa Maut


Gaya model kurus bak papan lapis, menjadi idaman kebanyakan remaja. Bahkan, tuntutan dunia peragaan yang masih percaya kepada falsafah semakin kurus semakin cantik dan laris sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada masalah bulimia di kalangan remaja.

Bulimia? Mungkin ramai di antara kita biasa mendengar perkataan ini walaupun tidak tahu secara mendalam tentangnya namun mungkin ada juga yang tidak pernah langsung mendengar perkataan ´bulimia´ ini. Apakah maksud sebenar ´bulimia´ ini?Secara umumnya bulimia atau ´Bulimia Nervosa´ merupakan salah satu penyakit yang berkait rapat dengan tabiat permakanan seseorang. Bulimia terjadi kepada mereka yang terlalu ingin menguruskan badan sehingga sanggup mengawal pemakanan secara yang melampau.

Pesakit bulimia ini biasanya menganggap diri mereka sebagai terlalu gemuk dan mempunyai potongan badan yang tidak menarik. Ia juga merupakan masalah psikologi kerana fikiran mereka hanya tertumpu kepada persoalan mengenai penampilan kurus, berat badan dan makanan.Pesakit bulimia biasanya akan makan dengan banyak dan cepat kemudian ´memuntahkan´ kembali apa yang mereka makan dengan kaedah menjolok anak tekak. Namun, ada juga yang sanggup menggunakan ubat yang dinamakan ubat laksatif atau diuretik, supaya cepat buang air besar, puasa panjang untuk mengurangkan berat badan dan senaman yang keterlaluan.

Kaum wanita biasanya lebih terdedah kepada penyakit ini berbanding lelaki. Ini kerana lumrah bagi setiap wanita untuk kelihatan langsing dan cantik pada pandangan umum. Oleh itu, bulimia menjadi pilihan mereka untuk kurus dengan sekelip mata. Individu yang mengalami masalah ini berasakan diri mereka gemuk, walaupun kenyataannya berat badan mereka normal.Banyak kajian telah dijalankan oleh pakar psikologi untuk mengenal pasti punca sebenar penyakit bulimia. Kebanyakan mereka percaya penyakit ini disebabkan oleh ketidakpuasan seseorang terhadap bentuk badannya sendiri dan ia juga berkait rapat dengan psikologi dan gangguan minda.Berbeza dengan masalah aneroksia nervosa kerana golongan ini tidak makan langsung semata-mata mahu kurus.

Biasanya pesakit bulimia rasa bersalah pada diri sendiri setiap kali mereka makan dan ini menyebabkan mereka ´memuntahkan´ semua yang dimakan. Penyakit ini juga bermula dengan ketidakselesaan individu terhadap berat dan bentuk badan sendiri. Mereka akan membandingkan berat dan bentuk badannya dengan orang lain. Golongan ini biasanya menyembunyikan perlakuan ´makan banyak dan muntah´ daripada pengetahuan orang lain.Akibat daripada kekurangan mineral dan zat-zat yang diperlukan dalam badan, hormon dalam badan menjadi tidak seimbang. Ini sekaligus menyebabkan mereka mudah tertekan dan sering hilang kawalan.

Pesakit juga akan kelihatan tidak bermaya, cepat letih, kaki bengkak, hilang deria sentuh pada kaki dan tangan dan mengalami sakit gusi dan gigi.Bulimia ini sebenarnya banyak membawa komplikasi buruk terhadap kesihatan. Bagi mereka yang mahu kurus, bulimia mungkin memberi pulangan yang mudah. Namun dalam masa yang sama, mereka bakal berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti dehidrasi dan kekeringan, kadar denyutan jantung tidak normal, gigi sensitif serta gangguan pada sistem penghadaman. Selain itu, mereka mungkin muntah bercampur darah yang menandakan ada luka pada esofagus iaitu laluan makanan dari tekak ke perut atau pada perut.Tekanan dan kemurungan adalah masalah paling biasa di alami oleh pesakit bulimia, justeru perlu dirawati dengan segera kerana ada di kalangan pesakit ini cenderung untuk membunuh diri.

Tabiat pemakanan mereka perlu dihentikan daripada terus merebak dan mengancam nyawa mereka. Selain memberikan kaunseling dan nasihat tentang cara pemakanan yang betul, doktor juga biasanya akan memberikan ubat untuk meredakan kesakitan pesakit dan seterusnya dirujuk kepada pakar sakit jiwa sekiranya tiba di tahap yang kronik.Pesakit bulimia ini sebenarnya memerlukan sokongan daripada ahli keluarga kerana kebarangkalian untuk pesakit kembali ke kancah bulimia adalah tinggi. Katakan kepada mereka bahawa penentu kasih sayang bukanlah bergantung kepada bentuk badan seseorang, malah ia bukanlah ciri untuk mencapai kajayaan.

Kesimpulannya, adalah tidak salah bagi kita untuk kelihatan cantik menarik pada pandangan umum, namun, renungkanlah apa yang terpaksa kita korbankan semata-mata untuk tujuan itu. Sanggupkah kita mempertaruhkan nyawa kita yang tidak ternilai ini semata-mata untuk kelihatan langsing dan menarik yang belum tentu berkekalan? Jawapannya di tangan anda.

No comments:

Post a Comment